PENGECUALIAN DUTI SETEM 2023

PENGECUALIAN DUTI SETEM 2023

Saya banyak menerima pesanan menerusi whatsapp yang bertanyakan tentang topik Pengecualian Duti Setem 2023 yang baru diumumkan oleh kerajaan pada Jumaat yang lalu. Jadi penulisan saya ini khas untuk menjawab dan berkongsi sedikit sebanyak agar tiada kekeliruan lagi ya

  1. Soalan : Apakah maksud pindahmilik kasih sayang yang kerajaan umumkan baru-baru ini yang mengatakan surat cara pindahmilik sehingga RM1juta dikecualikan ?

Jawapan :

Sempena pengumuman yang dibuat oleh kerajaan dalam Belanjawan 2023 pada 9 Jun 2023 yang lalu, kerajaan telah membuat hebahan di media sosial seperti di kaca televisyen serta di corong radio untuk memberikan pengecualian sepenuhnya terhadap duti setem ke atas pindahmilik kasih sayang hartanah yang mencecah sehingga RM1juta yang pertama.

Siapakah yang layak ke atas layanan pengecualian ini? Untuk makluman, pengecualian duti setem P.U. (A) 178/2023 ini terpakai kepada KESEMUA PINDAHMILIK KASIH SAYANG di antara ahli keluarga seperti yang berikut:-

1. Ibu/bapa Anak
2. Anak Ibu/bapa
3. Datuk/nenek Cucu
4. Cucu Datuk/nenek

 

Nota: Anak termasuklah anak tiri dan anak angkat yang diiktiraf dalam undang-undang.

Jika dahulu, hanya pindahmlilik kasih sayang di antara suami dan isteri sahaja yang dapat pengecualian duti setem sepenuhnya manakala pindahmilik kepada selain suami isteri perlulah membayar 50% duti setem daripada harga pasaran hartanah. Contohnya, sebelum ini jika ibu atau bapa hendak membuat pindahmilik hartanah daripada nama mereka kepada nama si anak maka si anak hendaklah membayar 50% duti setem daripada harga pasaran hartanah.

Berita yang baik bukan daripada kerajaan? Bukan sahaja ibu/bapa pindahmilik kepada anak duti setem dikecualikan, tetapi pindahmilik daripada datuk/nenek kepada cucu pun tiada masalah. Teringat satu ketika dahulu ketika diberi tugasan untuk membantu anak guam untuk kes pindahmilik hartanah daripada datuk kepada cucu. Si cucu terpaksa  membayar duti setem sebanyak 50% daripada harga pasaran hartanah atas pemberian hadiah hartanah daripada si atuk!

Tetapi perlu ingat ya, hanya hartanah tak alih yang harga mencecah sehingga RM1juta sahaja ya. Jika hartanah tak alih yang hendak dipindahkan itu melebihi RM1juta, maka pengurangan sebanyak 50% akan diberikan kepada si penerima.

  1. Soalan : Pengecualian 75% duit setem ke atas pembelian rumah sehingga RM1juta yang kerajaan umumkan itu pula macam mana ?

Jawapan :

Di bawah Home Ownership Programme 2022/2023- HOPE, pemilikan rumah pertama menerusi Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-MILIKI) akan diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman:-

No. Warta Penerangan
1. P.U. (A) 176/2023 Pengecualian duti setem Perjanjian PINJAMAN  bagi pembelian harta kediaman berharga tidak melebihi RM500,000.00
2. P.U. (A) 177/2023 Pengecualian duti setem Perjanjian PINDAHMILIK bagi pembelian harta kediaman berharga tidak melebihi RM500,000.00
3. P.U. (A) 179/2023 Pengecualian duti setem 75% Perjanjian PINJAMAN bagi pembelian harta kediaman berharga melebihi RM500,000.00 sehingga RM1,000,000.00
4. P.U. (A) 180/2023 Pengecualian duti setem 75% Perjanjian PINDAHMILIK bagi pembelian harta kediaman berharga melebihi RM500,000.00 sehingga RM1,000,000.00

 

Pemberian duti setem ini terpakai bagi berkuatkuasa daripada 1 Jun 2022 sehingga 31 Disember 2023.

Walaubagaimanapun, kerajaan tidak menyatakan dengan lebih lanjut mengenai Pengecualian Duti Setem bagi kes yang melibatkan pembelian hartanah subsale (pembelian hartanah daripada individu).

Dengan erti kata mudahnya, pengecualian ini terpakai untuk pembelian rumah daripada pemaju sahaja (direct developer). Untuk pembelian rumah subsale, pengecualian ini tidak terpakai ya.

  1. Soalan : Jika beli rumah subsale memang tiada pengecualian duti setem langsung ke?

Jawapan :

Bagi pembelian rumah yang bukan dibeli daripada pemaju, kita panggil subsale (pembelian hartanah daripada individu), memang terdapat pengecualian duti setem sepenuhnya seperti yang termaktub dalam Warta Kerajaan P.U.(A) 53/2021 (pindahmilik)  & P.U.(A) 54/2021 (perjanjian pinjaman). Namun terdapat beberapa perkara yang harus dipenuhi oleh pembeli untuk menikmati pengecualian ini:-

  1. Hartanah yang dibeli hendaklah tidak melebihi RM500,000.00;
  2. Tarikh perjanjian jual beli ditandatangani adalah di antara 01/01/2021 sehingga 31/12/2025;
  3. Harta kediaman ini merujuk kepada satu unit rumah seperti rumah teres, apartment, pangsapuri, kondominium dan lain-lain yang diklasifikasikan sebagai rumah kediaman;
  4. Harta kediaman yang tersebut tidak termasuk small office home office (SOHO), small office flexible office (SOFO), small office virtual office (SOVO) dan service apartment;
  5. Pembeli tidak pernah memiliki apa-apa harta kediaman termasuk yang dapat secara perwarisan, hadiah pemberian (daripada ibu bapa contohnya), sama ada dipegang secara individu atau bersama (terdapat beberapa nama dalam geran seperti atas nama adik beradik & suami isteri).

Pendek kata, pembeli rumah pertama yang memenuhi ciri-ciri di atas layak untuk mendapatkan pengecualian duti setem sepenuhnya bagi pembelian rumah subsale.

Harapnya tidak keliru lagi ya dengan pengecualian duti setem untuk kes pindahmilik kasih sayang, Program Pemilikan Rumah (Home Ownership Programme – HOPE) dan pembelian rumah subsale.

Semoga bermanfaat daripada ODENAN & CO. 🙂

 

PENAFIAN: Kandungan presentasi/penulisan ini, ketika tarikh ia diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *